Wednesday 16 May 2012

Tadika & Taska Yang Bermotivasi!!!

Taska

Pendidikan awal kanak-kanak adalah perkara yang tidak boleh dipandang ringan oleh setiap pengusaha tadika dan taska. Kadang kala ada ibu bapa memilih taska atau tadika berpandukan populariti pada mata masyarakat. Namun mereka lupa soal kualiti pendidikan yang penting dan mengambil kira kesesuaian untuk perkembangan anak-anaknya. Ikuti panduan dalam memilih taska atau tadika buat anak.

Tidak semua orang sanggup melayani kerenah kanak-kanak yang datang dari pelbagai latar belakang, sosio-ekonomi dan budaya. Hanya guru yang mempunyai berniat ikhlas, sabar dan berilmu dapat ‘bertahan lama’ di prasekolah atau tadika. Guru prasekolah mestilah mempunyai sifat penyayang, belas kasihan, komited dan minat dalam bidang kerjaya ini. Ini kerana kerenah kanak-kanak sukar diramal antaranya bersikap sensitif, suka merajuk, menangis dan buat perangai.


Merujuk kepada pra sekolah, pengusaha tadika perlu membuat pelbagai persediaan dalam pengajaran dan pembelajaran supaya kelas berlangsung dengan baik. Kadang-kadang guru mendapati sesetengah kanak-kanak lambat memahami pelajarannya. Harus diingat bahawa kanak-kanak melalui kadar pertumbuhan dan perkembangan berbeza. Oleh itu, guru perlu memberi lebih perhatian kepada kanak-kanak itu.

Wujud Suasana Riang
Tadika atau taska yang baik ialah menyediakan proses pendidikan awal kanak-kanak dalam suasana yang keriangan dan ceria bukan keadaan memberi tekanan kepada kanak-kanak. Kegiatan kreatif, suasana dan persekitaran yang diwujudkan guru boleh menjadi pemangkin kepada motivasi kanak-kanak.
Untuk proses pembelajaran, pengajaran yang dilakukan di taska atau tadika perlu dilakukan mengikut umur kanak-kanak terbabit. Juga pelbagai kaedah digunakan untuk membantu kanak-kanak mengenali huruf, boleh mengeja, membaca dengan lancar dan sebagainya. Dengan menggunakan kaedah fonik dikatakan mampu membuatkan kanak-kanak membaca perkataan dengan mudah dan kesannya mampu membaca buku dengan baik.

Program Bentuk Pemikiran Kreatif
Selain itu, pelbagai program perlu diadakan untuk menyuntik nilai-nilai murni dalam diri mereka serta membentuk pemikiran yang kreatif, kritis dan dinamik. Aktiviti-aktiviti yang lebih santai turut diadakan untuk kanak-kanak secara pengajaran dapat dilakukan dengan mudah.

Aktiviti yang diadakan perlu mencabar dan menggembirakan untuk meningkatkan potensi di samping mengamalkan nilai kasih sayang semasa mengasuh dan mendidik kanak-kanak. Namun apa yang diharapkan, kanak-kanak ini berkemahiran, berilmu, berdisiplin sepanjang berada di taska dan tadika.

Dalam pada itu, untuk meningkatkan tahap pengajaran lebih baik, kesedaran terhadap kepentingan pendidikan prasekolah ini harus ditingkatkan dengan menghadiri seminar untuk guru prasekolah, mengambil program Pendidikan Jarak Jauh sama ada di peringkat sijil, diploma, ijazah, sarjana mahupun doktor falsafah bagi menambah ilmu dalam bidang ini.

Info : Taska yang didaftarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah di bawah Akta Pusat Penjagaan Kanak-Kanak 1984 bagi kanak-kanak berusia 0 hingga empat tahun manakala tadika untuk kanak- kanak berusia empat hingga enam tahun pula di bawah Akta Pendidikan 1996.

No comments:

Post a Comment