Tuesday 15 May 2012

Taska Dual Permataku Sedia Perkembangan Secara Holistik

Tadika1

Susun atur yang kemas dengan persekitaran yang luas untuk kanak-kanak bermain dengan selesa. Tambahan pula, setiap dinding dihiasi dengan carta-carta pembelajaran. Apa yang pasti setiap ruang dan hiasan di taska ini mengandungi unsur-unsur akademik. Itulah istimewanya Taska Dual Permataku yang terletak di Seremban 2, Negeri Sembilan yang diusahakan oleh Azura Hanim Mohamed Zubir.

Taska ini ditubuhkan pada 2009 tercetus hasil dari penubuhan Dual Training Institute (DTI) iaitu sebuah Pusat Bertauliah tunggal di Semenanjung Malaysia di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia program Asuhan Kanak-Kanak (Childcare Provider) beserta Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK).

DTI telah menghasilkan lebih seratus pengasuh yang terlatih sejak ditubuhkan dan sebelum pelajar tamat kursus, mereka sudah menjadi rebutan pengusaha-pengusaha taska untuk diambil bekerja.

Bermula daripada itu, lahirlah idea dalam penubuhan Taska Dual Permataku bagi melengkapkan latihan pelajar secara hands-on dan bersedia ke alam pekerjaan yang sebenar. Taska ini menyediakan tempat yang bersih dan teratur mengikut spesifikasi Jabatan Kebajikan Masyarakat. Selain itu, ia juga menyediakan tempat yang berkualiti dan selamat kepada bayi yang berumur dari dua bulan hingga ke empat tahun yang menyediakan aktiviti dengan tujuan menumpukan kepada perkembangan menyeluruh bayi dan kanak-kanak secara holistik.

Apabila menyentuh mengenai kanak-kanak kecil pastinya pelbagai kerenah yang bakal dihadapi oleh pengasuh terutama kanak-kanak yang tidak menunjukkan minat dalam melakukan aktiviti. Dalam hal ini, menurut Azura, pendekatan secara individu pula dijalankan bersama kanak-kanak yang sering menunjukkan sikap tidak minat terhadap aktiviti yang dijalankan di Taska.

“Kerenah kanak-kanak ditangani secara lemah-lembut tanpa perlu meninggi suara sehingga kanak-kanak semakin hilang minat dan kecenderungan. Justeru itu, pengasuh kami terdiri daripada mereka yang kreatif dan sentiasa mempunyai pelbagai idea untuk menjalankan aktiviti yang dirancang dengan jayanya bersama kanak-kanak.

“Juga dalam setiap aktiviti yang dijalankan, taska ini mementingkan proses perlaksanaan dan bukannya hasil kepada aktiviti tersebut kerana setiap kanak-kanak adalah berbeza dan mempunyai keistimewaan tersendiri,”jelasnya.

Katanya lagi untuk menjadikan pembelajaran menjadi lebih menarik dan tidak membosankan, setiap aktiviti yang dijalankan mestilah menggunakan pendekatan Belajar Melalui Bermain (Learn Through Play) diselaraskan dengan sifat semula jadi kanak-kanak iaitu bermain, ingin tahu dan mencuba. Ia mendatangkan keseronokan dan hiburan serta merangsang kanak-kanak mempelajari sesuatu secara aktif dalam situasi tidak formal.

“Aktiviti yang dijalankan menggembirakan dan memberi peluang kepada kanak-kanak membuat penerokaan, berinteraksi dengan persekitaran dan bermain bebas dengan terancang.

Pendekatan psikologi sangat penting dalam pengajaran kanak-kanak kerana tingkah laku dan respons kanak-kanak tidak sama. Melalui pendekatan psikologi, dapat membantu pengasuh memahami masalah tingkah laku dan perasaan mereka. Dengan cara itu, pengasuh dapat menjalankan aktiviti yang sesuai mengikut tahap perkembangan seseorang kanak-kanak itu,”jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment